Pembaca Setia

Khamis, 8 Februari 2018

ZIARAH PULAU BESAR MELAKA

Pulau Besar, pulau yang menyimpan kisah misteri dan sejarahnya tersendiri. Pulau Besar adalah pulau keramat kerana terdapat makam Wali Allah yang telah berjasa dalam menyebarkan dan mengembangkan ilmu islam keseluruh kepulauan Melayu. Makam ini menjadi tumpuan pengunjung luar yang datang ke pulau ini.

Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar (r.a), adalah keturunan ke-18 Rasullullah S.A.W. Beliau dilahirkan pada 17 Rabiulawal tahun 867H bersamaan 1463M dibaghdad. Bapanya bernama As-Saiyid As-Syeikh Abdul Qadir serta ibunya bernama Sayyidah Fatimah. Moyang beliau Sultan Al-Awliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, seorang Wali Allah yang sangat mashyur di seluruh dunia. Beliau juga dikenali sebagai Wali Lanang di Kepulauan Melayu.

Sultan Al-Ariffin mempunyai ilmu yang tinggi dalam islam. Menurut riwayat, sewaktu beliau ke Madinah menziarahi Makam Nabi, beliau telah mendengar satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ajaran Islam ke Kepulauan Jawa. Beliau telah mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama dengan 16 orang sahabat antaranya guru beliau Syeikh Yusuf As-Siddiq serta saudaranya Saiyid Ibrahim (r.a).

Syeikh Yusuf As-Sidiq merupakan seorang Syeikh Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadis Nabi Muhammad s.a.w. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a menyebarkan agama Islam di Kepulauan Melayu pada tahun 1495. Merupakan guru kepada Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a.
Di Pulau Besar ilmunya telah berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai di seluruh Kepulauan Melayu termasuk India, Samudera Pasai, Champa dan Kelantan. Antara murid beliau yang sangat masyhur ialah Raden Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang) serta Raden Paku (Sunan Giri). Sultan Al-Ariffin telah meninggal dunia pada 17 Rabiulawal tahun 925H ketika berusia 58 tahun dan dikebumikan di Pulau Besar. Selain dari beliau, di situ juga termakam antara 41 hingga 43 orang pengikut-pengikut beliau yang lain. Makam sultan Al-Ariffin menjadi tumpuan utama pengunjung di Pulau Besar bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam mengembangkan islam di seluruh kepulauan Melayu.