Pembaca Setia

Ahad, 22 Ogos 2010

KENAPA TEKNIK DAKWAH TIDAK DIAJAR DI MASJID/SURAU










Dengan seribu macam permasalahan yang membelenggu umat Islam, kita akan menjadi hairan kenapa penyelesaian kepada masalah ummah dengan berdakwah terus kepada sasaran tidak diambil berat dan diperhalusi kaedahnya.

Contohnya kenapa tidak BANYAK ceramah/seminar tentang cara/kaedah berdakwah kepada umat Islam sendiri seperti mat rempit,cara 'tackle' hati mereka, dakwah susulan kali kedua,ketiga dan seterusnya. Lebih baik jika ceramah sebegini dilakukan secara teori dan praktikal terus supaya sama dengan situasi sebenar kehidupan.

Begitu juga kepada golongan lain yang bermasalah seperti pelajar institusi pengajian tinggi,pelajar sekolah, remaja yang bekerja, orang dewasa yang tidak insaf,muallaf,orang bukan Islam dan lain-lain golongan.

Kita perhalusi masalah mereka, buat kajian dan rancang pendekatan yang terbaik untuk mendekati mereka dan ilmu ini disebarkan di semua masjid/surau melalui ceramah maka ini akan memudahkan umat Islam mendakwah mereka.

Apabila kita ada sedikit asas dan bekalan maka ini akan memudahkan ahli jemaah masjid/surau untuk melakukan dakwah. Sekiranya lebih ramai umat Islam terlibat dengan aktif dalam bidang
dakwah ini dengan berilmu maka kecemerlangan umat akan lebih terealisasi berbanding menunggu mereka dapat hidayah seperti keadaan sekarang. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini walaupun ada juga gerakerja dakwah seperti ceramah di masjid atau dakwah oleh NGO dan lain-lain organisasi tetapi permasalahan yang teruk seperti kes buang bayi,perceraian,kecurian dll menuntut kita berfikir akan keberkesanan kaedah sedia ada.

Walaupun kemenangan dalam pilihanraya ada membantu memperbaiki keadaan tetapi untuk memulihkan peribadi umat Islam yang telah sebati dengan kejahilan adalah sukar jika dakwah tidak dijalankan serentak dengan proses kemenangan pilihanraya. Kita boleh bandingkan keadaan ini dengan sebuah negeri jiran yang mempunyai autonomi untuk melaksanakan hudud tetapi kebanyakan wanita yang telah terbina puluhan tahun dengan kejahilan masih merasa sangat sukar untuk menutup aurat dengan sempurna.

Oleh itu dakwah kepada rakyat bawahan juga mesti dilaksanakan secara aktif serentak dengan dakwah melalui kuasa pemerintahan. Tiada istilah untuk menunggu kemenangan pilihanraya dahulu baru menukar keadaan kerana keadaan sekarang pun sudah tenat dan perlu diperbaiki serentak dengan pembaikian melalui politik.

Yang menjadi masalahnya ialah mengatur gerakerja supaya kedua-dua target dapat dicapai serentak.