Pembaca Setia

Selasa, 25 Mei 2010





















Epal Busuk Hadiah Pengantin Baru


http://saifulislam.com




Sukar sekali mahu menjentik minda.

Lain yang diungkap, lain benar kefahamannya.

Mengupas sisi-sisi terlindung pada minda anak muda yang merancang untuk berumahtangga, sering menimbulkan reaksi yang lelah. Malah tidak kurang yang mencetuskan isu baru, seperti terhasilnya artikel yang anda sedang baca ini.

Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan poligami, ada yang cepat membuat kesimpulan bahawa saya menafikan hukum poligami. Anti poligami!

Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan perkahwinan semasa belajar, ada yang pantas membuat kesimpulan bahawa saya menentang perkahwinan semasa belajar atau kahwin muda. Bahkan tergamak menyimpulkan bahawa saya lebih risaukan pasangan suami isteri bergaduh, berbanding couple yang berzina. Mereka yang memilih untuk berzina, dan menyandarkan zina itu kepada saya!

Keadaan ini menambahkan keyakinan saya bahawa cara kita beragama hari ini penuh dengan konflik bukanlah semasa-mata kerana kekurangan ilmu agama, atau kerana kuatnya pengaruh jahiliah semata, tetapi ia juga banyak disebabkan oleh cara berfikir yang tidak betul. Alat untuk memahami nas dan ajaran agama itu sendiri rosak, justeru melahirkan banyak salah faham biar pun sudah disuluh di bawah terik mentari.

Mengapa tidak difahamkan sahaja, tatkala saya bincangkan tentang kepincangan amalan poligami semasa, kesimpulannya ialah, jika mahu berpoligami ambillah perhatian yang lebih agar kepincangan itu tidak berlaku? Bukankah itu sangat mudah untuk difahami? Mengapa harus memutar kesimpulan kepada kritikan terhadap cara mengamalkan poligami itu, adalah kritikan terhadap poligami itu sendiri? Jika tidak enak bicara tentang sisi negatif yang memerlukan pengurusan, lupakah kepada manfaat yang kita perolehi daripada cara Huzaifah radhiyallaahu ‘anhu mengambil hikmah daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Orang ramai selalu bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tentang kebaikan. Sedangkan aku pula selalu bertanya kepada baginda tentang kejahatan, kerana khuatir bertemu dan terjebak dengannya” [Hadith riwayat Muslim]

Ya, itulah penjelasan Huzaifah mengapa sisi-sisi gelap kehidupan umat perlu diketahui. Bukan untuk membunuh harapan, tetapi supaya langkah menjadi lebih kemas ketika mengatur perjalanan menempuh kehidupan.

Anak muda,

Tulisan-tulisan saya tidak sama sekali bermaksud mahu menakut-nakutkan kalian. Kecualilah kalian memang penakut, hingga cicak disangka buaya, cacing disangka ular.

Anda memerhatikan kejayaan rakan-rakan yang berkahwin muda, dan memang ramai yang perkahwinan itu adalah baik buat mereka. Anda bertuah kerana dapat melihatnya. Tetapi saya didatangi oleh mereka yang bermasalah. Mereka yang terkapai-kapai mencari jalan keluar daripada cubaan-cubaan hidup pasca perkahwinan yang melampaui persediaan diri mereka. Masalah mereka itulah yang saya k0ngsikan bersama anda, agar persiapan anda lebih baik daripada mereka yang telah mendahului anda.

Ketika saya menulis artikel KAHWIN SEMASA BELAJAR, ia bukan artikel yang berfungsi membuat keputusan bagi pihak anda. Amat jarang saya membuat keputusan bagi anda atau sesiapa. Sentiasa sahaja, tulisan saya menuntut anda menjadi manusia berfikir. Setelah berhasil untuk berfikir, buatlah keputusan dengan fikiran yang matang.

Saya cuba mengajak anda supaya memikirkan terlebih dahulu beberapa isu yang ditimbulkan. Supaya nanti, sama ada anda membuat keputusan untuk berkahwin semasa belajar atau tidak, yang penting anda sudah mempertimbangkan isu-isu yang saya ketengahkan. Apa yang penting kepada anda mungkin berkahwin atau menangguhkan kahwin, tetapi yang penting bagi saya di dalam artikel itu ialah, anda sudah mempertimbangkan isu yang diketengahkan, dengan sebaiknya. Soal keputusan akhir, andalah yang menentukannya.

Apa yang terbaik ialah berkahwin selepas berfikir, juga menangguhkan perkahwinan selepas berfikir. Apa yang buruk pula ialah berkahwin sebelum habis berfikir, atau selepas berkahwin anda mula berfikir yang bukan-bukan.

Demikian juga, tatkala saya menulis artikel JANGAN SEKADAR SYURGA DUNIA, sekali lagi saya menekankan perkara yang sama. Saya tidak sama sekali bermaksud, jangan kahwin awal kerana nanti mungkin dilanda jemu. Tidak sama sekali. Sama ada berkahwin awal atau berkahwin lewat, jemu itu boleh timbul dan selalu timbul.

Tetapi orang yang sudah berfikir panjang dan mendalam sebelum berkahwin, tidak akan bertindak bodoh semasa menguruskan kejemuan yang dialaminya. Apa yang beliau fikirkan semasa membuat keputusan untuk bernikah dahulu, menjadikannya bersedia dan menempuh tempoh jemu itu dengan sabar, teliti dan bukan keanak-anakan.

Saya ditempelak, kerana dianggap lebih rela membiarkan pasangan terdesak di kalangan mahasiswa berzina, berbanding dengan membantu mereka menyegerakan perkahwinan. Sungguh hodoh persepsi itu.

Saya ingin bertanya, siapakah yang berani menjamin, orang sudah berkahwin tidak akan berzina? Justeru anda begitu idealistik malah simplistik pada menganggap perkahwinan terus sahaja boleh menyelesaikan gelora jiwa si anak muda.

TERUK SANGATKAH?

Sepanjang 2009, ada dua suami dan 4 isteri menghubungi saya. Kesemua mereka adalah mahasiswa dan mahasiswi yang masih di bangku pengajian dan sudah berumahtangga. Mengadu masalah jemu dengan pasangan, mencetuskan rasa bimbang yang mendalam pada diri saya.

Lebih menyedihkan, ada pasangan yang suaminya masih berjiwa PSP, tiada keghairahan terhadap anak yang lahir. Ada isteri yang memberikan anak kecil minum susu sejuk kerana tidak tahu susu badan yang dibekukan di peti ais perlu dihangatkan terlebih dahulu sebelum diberi kepada anak. Semuanya gara-gara kurang persediaan dan kurang bersungguh mencari pengetahuan yang diperlukan.

Harganya apa?

Talaq yang menggegarkan arasy?

Atau nyawa anak kecil yang malang itu?

Jadi, penyelesaiannya bukan jangan kahwin, atau nak kahwin juga. Sebaliknya, berfikirlah dengan cermat sebelum apa-apa keputusan dibuat. Kemudian buat persiapan dengan bersungguh-sungguh. Bermula dengan mematangkan fikir daripada rentak seorang anak muda atau pelajar, kepada suami dan isteri, ibu dan bapa, yang sinonim dengan tanggungjawab dan peranan.

SEBUAH KISAH

Suatu hari, Jalaluddin al-Rumi menceritakan bagaimana seorang lelaki tua yang sedang menaiki kuda, ternampak seorang anak muda sedang tidur lena di bawah sebuah pohon pada tengah hari yang panas terik. Begitu lena, hingga mulutnya terngaga.

Sungguh mengejutkan, tatkala lelaki itu melihat seekor ular berbisa sedang merayap dan seterusnya masuk ke mulut si anak muda dan terus ke perutnya. Dengan pantas, lelaki itu mengambil sebatang kayu dan terus membelasah lelaki itu hingga beliau terjaga kesakitan, terkejut, trauma dan kebingungan.

“Makan epal busuk itu kalau mahu selamat!” kata si lelaki tua.

“Jangan pukul saya!” anak muda itu cuba melarikan diri.

Si tua mengejarnya dan terus memukul.

“Makan epal busuk itu kalau mahu selamat!” tegas lelaki tua itu lagi.

Si anak muda yang kesakitan menjamah epal busuk yang bertaburan di atas tanah, menahan bau busuk epal itu, yang sesetengahnya berulat.

“Jangan berhenti. Makan lagi!” tegas si tua misteri itu.

Akhirnya si anak muda yang sudah tidak tahan dengan rasa epal busuk dan baunya yang mengembangkan tekak, beliau termuntah-muntah. Alangkah terkejutnya beliau, keluar bersama muntah epal busuk itu seekor ular berbisa yang nyaris-nyaris meragut nyawa si anak muda yang alpa.

“Maafkan saya!” si anak muda memeluk lelaki tua itu.

Sangkanya si tua itu lelaki gila. Memukulnya dan memaksa beliau memakan epal. Bukan epal ranum tetapi epal busuk. Rupa-rupanya ada ular berbisa di perut si anak muda, yang beliau tidak tahu, hanya kerana sifatnya yang alpa dan bermimpi di tengah hari.

Epal busuk itulah yang banyak dalam tulisan orang tua bernama Abu Saif ini!

Supaya tidak meleret panjang, izinkan saya membuat kesimpulan berikut:

CARA YANG SANGAT BERKESAN UNTUK MEMUSNAHKAN KEHIDUPAN MANUSIA IALAH:

  1. Memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.
  2. Menolak perkahwinan kerana takut akan memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.

Dan kedua-dua itu adalah cara berfikir seperti robot… yang cuba menafsirkan si tua yang masih ‘analog’ ini!