Pembaca Setia

Jumaat, 9 April 2010










HADIS BERKENAAN KAEDAH MENEPUK/MEMUKUL DALAM RAWATAN

Diriwayatkan daripada Abdullah bin A'mir bin Rabia'h daripada ayahnya berkata; Saya bersama Sahl bin Hanif pergi mencari arak. Kemudian kami memperolehinya. Salah seorang daripada kami merasa malu untuk mandi ke sungai apabila ada yang melihatnya. Apabila mandi, dia menyelinap bersembunyi dari pandangan saya dan menanggalkan jubahnya lalu masuk ke dalam air. Saya memerhatikannya dan tingkah-lakunya didapati sangat menghairankan. Dia sedikit pun tidak menyahut panggilan saya ketika memanggilnya. Ini menyebabkan saya menyangka dia telah terkena gangguan jin. Dengan segera saya menemui Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan tentangnya. Apabila datang kepada Rasullullah s.a.w., baginda menepuk-nepuk dadanya kemudian berdoa; “Ya Allah, hilangkanlah kepanasan gangguan itu, kesejukannya dan kesan buruknya”. Kemudian Baginda bersabda kepadanya; “bangunlah, lalu dia bangun dalam keadaan sihat”. Rasulullah s.a.w. seterusnya bersabda; “Apabila ada di kalangan kamu mendapati pada dirinya berlaku perkara yang menghairankan atau pada harta bendanya mahupun pada ahli keluarganya, hendaklah segera dia berdoa memohon keberkatan daripada Allah. Ini kerana gangguan rasukan memang benar berlaku”.

Diriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-A'sh berkata; apabila Rasulullah s.a.w. mengutus saya ke Taaif, saya pernah merasa diganggu di dalam sembahyang sehingga tidak mengetahui apa yang dilakukan di dalamnya. Saya menemui Rasulullah s.a.w. lalu memberitahu baginda peristiwa tersebut. Baginda bersabda; “Gangguan itu sebenarnya daripada syaitan, hampirlah kepadaku”. Saya menghampiri Rasulullah s.a.w. dan duduk berhadapan dengan baginda. Baginda menepuk-nepuk dadaku dengan tangannya dan meludah ke dalam mulut ku, sambil berkata; “Keluarlah wahai musuh Allah!”. Baginda mengulanginya tiga kali. Kemudian baginda bersabda; “Kebenaran adalah berserta dengan amalanmu”. U'thman berkata; “Saya tidak pernah lagi diganggu setelah itu”.

Diriwayatkan daripada Jarir berkata; “Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadaku tidakkah mahu kamu menyenangkanku dengan memusnahkan Zil Khalasah?”. Jarir berkata; “Lalu saya bersedia bertolak ke sana bersama satu pasukan tentera berkuda sebilangan seratus lima puluh orang.Sebelum bertolak,saya mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa saya merupakan seorang yang tidak boleh berada tetap di atas tunggangan kuda”. Lalu Rasulullah s.a.w. menepuk nepuk dadaku sehingga kedapatan kesan tepukan jari jemari Baginda di dadaku. Dalam pada itu baginda berdoa; “Ya Allah jadikanlah dia tetap di atas tunggangannya dan jadikanlah dia seorang yang petunjuk yang mendapat penunjuk dari Mu”. Jarir kemudiannya bertolak ke sana dan memperolehi kemenangan.

Hadith daripada Ummu Aban binti al-Wazi' yang diceritakan daripada ayahnya; Bahawa suatu hari datuknya pergi menemui Rasullullah s.a.w. bersama dengan anaknya atau anak saudaranya yang kerasukan. Lalu berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah s.a.w., saya datang bersama anak atau anak saudara saya yang dirasuk dan meminta daripada Rasulullah supaya berdoa untuknya”. Baginda menjawab: “Bawa dia berjumpa denganku”.

Lalu saya pergi kepadanya yang sedang berada di dalam kenderaan. Setelah menyalinkan pakaiannya, saya membawanya bertemu dengan Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hampirkan dia kepadaku dan hadapkan belakangnya kepadaku”. Rasulullah s.a.w. mengambil sehelai bajunya dan digabungkanya supaya menjadi tebal lalu baginda memukul belakang pesakit sehingga kelihatan putih ketiak baginda s.a.w.. Di samping baginda bersabda: “Keluarlah hai musuh Allah!”.

Sejenak kemudian anak tersebut kesihatan sedar seperti sediakala dan tidak lagi seperti dahulu. Rasulullah s.a.w. kemudiannya mendudukkan anak itu di hadapan baginda lalu menyapu air di mukanya dan berdoa untuknya. Semenjak doa Rasulullah kepadanya, tiada seorang pun di kalangan rombongan itu yang dapat menyaingi [kepintarannya]


Nota : Kebanyakan hadis di dalam blog ini disalin sekadarnya sahaja untuk makluman.Saya sendiri tidak pandai menyemak darjat hadis. Oleh itu untuk mengelakkan berdusta atas nama Rasul Saw saya sangat berharap agar ada ustaz yang mahir hadis ATAU mengetahui ada kesilapan majsud hadis atau ayat quran akan memberikan teguran kepada saya melalui e-mail atau sms